Monday, February 22, 2010

Bersatu Bersetia Berkhidmat

1) Inilah slogan keramat yang ahli UMNO dan pemimpin-pemimpinnya laungkan, yang mereka nanyikan apabila ada sahaja majlis UMNO di kampung-kampung atau di Pusat Dagangan Dunia Putra saban tahun.

2) Lantaran berapa ramaikah yang mendalami pengertian kepada slogan ini? Untuk menjadi ahli UMNO hanya perlu isi borang dan Ketua Cawangan akan tolong bayarkan yuran mereka. RM 1 untuk satu tahun. Selepas ini Yuran RM2 untuk seumur hidup.

3) Melihat UMNO yang telah bertapak lama dan mengekalkan motto BERSATU, dan keadaan di Bahagian dan Cawangan tidak ubah seperti perkelahian anjing dan kucing. Ke mana sahaja semua sudah mencanang siapa bakal YB (kalau ada peluang menang) dan siapa akan duduk di mana, jawatan apa. Motto BERSATU ini bukan lagi sesuatu yang menjadi asas dan nadi dalam pergerakan parti.

4) Setiap zaman pemilihan (PAU) pasti ada keretakan di mana-mana peringkat sayap,cawangan, bahagian dan pusat. Sekarang kita tidak perlu tunggu zaman pemilihan lagi. Sekarang pun ia sudah bermula. Masing-masing sudah tahu jika UMNO tidak selamat lagi ini adalah masanya untuk merebut apa yang ada.

5) Dengan itu motto bersatu hanyalah retorik lama yang tidak lagi menjadi penghayatan buat ahli UMNO dan pemimpin mereka. Tunggu masa sahaja, untuk di tukar kepada BERPECAH.

6) Tertubuhnya UMNO adalah kerana orang melayu ingin menzahirkan rasa marah kepada Dasar British-Malayan Union.Dan perjuangan UMNO kemudian disambung dan diteruskan untuk ahli dan pemimpinnya BERKHIDMAT kepada rakyat khususnya orang Melayu. Dalam kata lain, Tun Dr Mahathir sebut di dalam sajak bertajuk Perjuangan Yang Belum Selesai.

"Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara"

Maka PERKHIDMATAN ini diteruskan supaya Negara dapat mengisi kemerdekaannya.

7) Curahan khidmat tidaklah semestinya melalui UMNO sahaja. Kita boleh berkhidmat melalui pergerakan individu dan melalui pertubuhan yang lain. Tetapi memandangkan motto UMNO jelas menggambarkan bahawa ini adalah perti yang bersedia untuk berkhidmat, maka ramai juga yang memilih UMNO sebagai vehicle untuk mengetengahkan khidmat mereka. Mereka tidak minta apa-apa. Dengan hanya sedikit khidmat golongan ini merasakan mereka sudah pun melaksanakan satu amanah sebagai seorang Melayu.

8) Cuma, sekarang UMNO perlu memilih siapa yang perlu berkhidmat dan siapa yang hanya perlu duduk diam. Khidmat siapa yang diperlukan dan khidmat siapa yang perlu ditinggalkan. Mereka yang bersuara lebih sedikit untuk menegur kepimpinan parti tidak perlu lagi meneruskan khidmat mereka. Malah Tun Dr Mahathir sendiri pasca pemerintahan beliau tidak lagi dipandang sebagai seorang yang pernah berkhidmat kepada negaranya. Dan khidmat beliau tidak lagi diperlukan sewaku itu. Nasihat sebagai seorang penasihat dipandang sepi. Tidak ada ahli dan pemimpin UMNO yang cukup berani untuk bertemu pun dengan beliau walau hanya untuk mendapatkan sedikit buah fikiran. Begitulah nasib seorang negarawan yang sedikit tegas dan berpandangan kritis terhadap Kerajaan UMNO, dan beliau dilayan seperti orang yang tidak lagi berjasa kepada UMNO. 22 Tahun hanya kenangan yang tak bernama. Apa pula jasa ahli biasa seperti penulis yang boleh dibanggakan?

9) Maka UMNO kini bukan sahaja menyekat orang lain untuk menyertai UMNO malah menyekat ahlinya untuk berkhidmat, bertentangan dengan motto yang dipegang sekian lama. Menyekat ahlinya untuk berkhidmat kerana takutkan ahli ini mampu membawa imej yang buruk kepada kepimpinan kerana sedikit kritikal dalam sesetengah isu.

10) Ini hanya menjauhkan mereka yang belum berada di dalam UMNO untuk mendekati UMNO. Selama bila pun UMNO tidak akan didekati.

11) BERSETIA. Ini adalah slogan yang paling diminati semua ahli UMNO. SETIA kepada pemimpin dan tidak derhaka. BERSETIA tidak kira apa juga yang penting adalah BERSETIA. Apa pun yang terjadi perlu SETIA dan SETIA. Mana titah patik junjung.

12) Apakah benar? SETIA yang sebenarnya adalah kepada parti. Apa guna SETIA kepada pemimpin apabila pemimpin tidak lagi SETIA kepada parti, ideologi parti, kepentingan Melayu yang menjadi nadi perjuangan parti. Bukankah itu tujuan UMNO berada dari dahulu hingga kini?

13)Pernah Allahyarham Dato Setia Hj Mufti Shuaib tekankan kepada semua ahli parti.

"Apabila solat, yang kita ikut adalah masjid dan kiblatnya. Bukan imamnya."

Maka apabila tersasul imamnya, makmum yang mengikut wajib menegur. Apabila tersimpang ajarannya maka pilihlah imam yang baru.

14) Daripada 3, hanya satu slogan yang tinggal untuk dipraktiskan buat ahli UMNO dan kepimpinannya. BERSETIA dan BERSETIA sampai bila-bila. Sudahlah mereka tidak bersatu, kemudian tidak pula memberi ruang untuk berkhidmat kepada yang mahu. Mereka hanya meminta supaya kita ahli dan penyokongnya terus bersetia.

15) Rakyat dari luar akan lihat parti ini adalah parti bergaduh siang malam, tidak berkhidmat dan ahlinya hanya setia seperti orang gila.

1 comment:

  1. Selamat datang ke dunia blogger...saru artikel yg agak baik....sila paste ke KCD!!!

    ReplyDelete